DR NOOR Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DR NOOR Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


MALAYSIA akan cuba memastikan sekiranya vaksin Covid-19 ditemui kelak, negara ini akan diberikan keutamaan mendapatkannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini Malaysia sedang berbincang dengan beberapa negara yang mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan vaksin berkenaan.

Menurutnya, sekiranya vaksin itu sudah ditemui pula pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat penyelidikan pula terhadap vaksin itu untuk mengkaji kesan sampingan.

“Malaysia, dipilih untuk dijadikan tempat membuat kajian sebagaimana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan rawatan.

“Contohnya ada empat kumpulan ubat, Malaysia dikenal pasti sebagai sebuah negara yang boleh menjalankan kajian (ubat) itu.

“Begitu juga jika boleh berbincang dengan negara yang mengeluarkan vaksin, kita bersedia menerima vaksin itu untuk menjalankan kajian, kita boleh pantau sama ada vaksin itu berkesan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di KKM Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham mengulas soalan wartawan mengenai cadangan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) memastikan negara terbabit pada peringkat ujian ‘human trial’ atau terhadap manusia dan mendapat vaksin secepat mungkin apabila ia sedia digunakan kelak.

Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin semalam dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa negara untuk menjalinkan bekerjasama, selain turut menerima cadangan daripada negara lain bagi membantu negara tersebut dalam ujian klinikal itu.

Antara negara itu termasuk China, United Kingdom (UK), Koera Selatan, India dan Bosnia.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata Malaysia mungkin tiada keupayaan setakat ini untuk menjana atau membuat vaksin.

“Tetapi apabila vaksin sudah dikenal pasti, mungkin kita boleh melihat kepada pembuatan vaksin di negara kita.

“Mungkin formula sudah ada, kita boleh mengeluarkannya di negara kita. Kerjasama secara bersepadu dengan negara lain, data kita contohnya boleh menyumbang kepada kajian penyelidikan vaksin bersama.

“Ini walaupun kita tak ada keupayaan asas untuk mengenalpasti vaksin. Tetapi dalam proses pembuatan kita boleh menyumbang. Apabila ada vaksin yang boleh menyembuh, kita nak pastikan Malaysia diberi keutamaan dapatkan vaksin itu untuk negara kita,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:42 PM