GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hassan Omar


UMAT Islam tidak mahir menggunakan teknologi maklumat (IT) untuk membayar zakat fitrah melalui kaedah dalam talian boleh berbuat demikian kepada amil dilantik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ).

Bagaimanapun, bagi negeri tidak menyediakan amil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka yang tidak mampu berbuat demikian diminta mendapatkan penjelasan daripada MAIN dan AMZ masing-masing.

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam jawapan soalan lazim dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini berkata, kaedah pembayaran zakat secara manual harus mematuhi peraturan penjarakan sosial ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Individu disahkan positif Covid-19 atau baru sembuh atau dalam kategori Pesakit Dalam Siasatan (PUI) tidak dibenarkan membayar zakat kepada amil, sebaliknya mereka harus mewakilkan pembayaran zakat melalui anggota keluarga atau waris yang siha.

“Selain itu, ada beberapa cadangan mekanisma pelaksanaannya seperti bayaran secara pandu lalu (drive thru), kutipan dari rumah ke rumah dan seumpamanya,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, pembayar zakat dan amil dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman, selain tidak perlu bersalaman semasa dan selepas pembayaran zakat dibuat.

Jabatan itu berkata, tiada kaunter pembayaran zakat di lokasi awam seperti di pasar raya, balai raya, stesen bas dan seumpamanya disediakan berikutan PKP.

JAWHAR berkata, semua MAIN dan AMZ akan mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat secara dalam talian bagi memudahkan pembayar zakat menunaikan kewajipan secara lebih pantas dan selamat.

“Asal kewajipan zakat fitrah adalah makanan ruji atau asasi masyarakat setempat dan di negara ini, ia dinilaikan dengan segantang beras.

“Perbezaan kadar zakat fitrah adalah kerana jenis beras menjadi makanan asasi di sesebuah negeri berdasarkan kajian dibuat MAIN dan AMZ serta maklumat diberikan pemborong beras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 2:40 PM