FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SEORANG warga Perancis yang juga penuntut universiti didenda maksimum RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, akibat berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan isyarat jari tengah, terhadap seorang anggota polis.

Majistret Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Priscillia Miard, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya, dalam Bahasa Melayu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat minggu, sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda.

Wanita itu melakukan kesalahan berkenaan di Kaunter Aduan Balai Polis Travers di Kuala Lumpur, 12.30 tengah hari, 16 April lalu, dan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis yang boleh dihukum mengikut seksyen sama, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu berlaku semasa tertuduh datang ke balai polis berkenaan bagi mendapatkan surat kebenaran cross state atau rentas sempadan untuk pulang ke kediamannya, di Langkawi.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohd Farid memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira perbuatan itu dibuat terhadap Polis Diraja Malaysia, manakala peguam Tan Kian Peng yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan kerana anak guamnya itu tidak bekerja, dan itu kesalahan pertamanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 8:38 PM