GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yun Mikail


SEBANYAK 64 peratus kes wabak Covid-19 di negeri ini membabitkan lelaki berumur antara satu hingga 80 tahun setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, hasil analisis Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati golongan wanita yang dijangkiti wabak berkenaan hanya 36 peratus.

Christina berkata, menerusi analisis bagi golongan lelaki, individu paling ramai terkena wabak terbabit adalah berumur 19 hingga 40 tahun bersamaan 41.5 peratus.

“Bilangan kedua tertinggi ialah lelaki berusia antara 41 sehingga 55 tahun dengan peratusan 28.4 peratus.

“Analisis sama juga menyatakan 16 peratus lelaki berumur 54 tahun adalah kelompok ketiga tertinggi dijangkiti Covid-19.

“Ia diikuti 10.8 peratus kanak-kanak serta remaja berusia enam hingga 18 tahun manakala hanya 3.3 peratus untuk kanak-kanak berumur tiga tahun,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Christina berkata, pihaknya akan terus melaksanakan aktiviti pengesanan kes secara aktif (ACD) dalam kalangan kontak kes.

Beliau berkata, melalui aktiviti ACD, JKNS sudah berjaya mengesan kontak yang tidak menunjukkan gejala atau simptom tetapi berupaya menjangkiti orang lain.

“Majoriti yang dikesan melalui ACD adalah kontak kluster tabligh dan petugas kesihatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 11:00 AM