GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias
GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan elaun khas petugas barisan hadapan yang terbabit dalam pengurusan Covid-19 dibayar secara terus bersama gaji setiap bulan kepada petugas terbabit.

Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan, hari ini berkata, ia bertujuan memudahkan cara pembayaran elaun kepada petugas berkenaan tanpa perlu mengisi borang yang sama setiap bulan, selain mengurangkan kerenah birokrasi.

“CUEPACS menerima banyak aduan dan rungutan mengenai karenah birokrasi serta penetapan syarat yang dilihat merumitkan petugas barisan hadapan untuk membuat tuntutan elaun berkenaan.

“Elaun yang diberikan kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Jangan kita lunturkan semangat dengan karenah birokrasi,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu meningkatkan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April lalu sehingga wabak Covid-19 berakhir.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 4:27 PM