Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Roji Kawi

TABUNG Baitulmal Sarawak (TBS) menyediakan kaedah alternatif untuk memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah tahun ini.

Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, pembayaran secara dalam talian itu boleh dibuat menerusi portal Baitulmal Kamek.

Menurutnya, pembayaran juga boleh dibuat menerusi MyEG, Maybank2U dan Snap N Pay.

“Kadar zakat fitrah bagi tahun ini ditetapkan oleh Mufti Negeri Sarawak dengan nilai RM7 seorang.

“Dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TBS turut menyediakan alternatif bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah iaitu secara dalam talian,” katanya dalam kenyataandi Kuching hari ini.

Abang Mohd Shibli berkata, selain itu TBS juga masih meneruskan kaedah tradisional pembayaran menerusi amil yang dilantik.

“Seramai 779 orang amil masih sah tempoh pelantikan mereka di negeri ini tetapi tertakluk kepada perkembangan PKP, perkhidmatan akan disesuaikan mengikut kewajarannya nanti.

“Buat masa ini, kita membenarkan amil untuk melaksanakan tugas mereka di rumah dan mungkin juga akan disesuaikan ke lokasi masjid atau surau, namun ia tertakluk kepada perkembangan PKP,” katanya.

Beliau berkata, semua amil yang dilantik akan dibekal dengan kit zakat fitrah dengan tambahan peralatan perlindungan peribadi (PPE) seperti topeng mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman.

Mengenai pembukaan kaunter zakat fitrah di kompleks komersial atau tempat terbuka yang mudah dikunjungi, beliau berkata ia bergantung kepada permohonan dari pihak berkenaan, namun jika PKP masih dikuatkuasakan sepanjang Ramadan, kemungkinan tidak ada perkhidmatan kaunter pembayaran di lokasi terbabit.

Orang ramai yang mahukan pencerahan mengenai pelaksanaan pembayaran zakat fitrah boleh mengemukakan pertanyaan menerusi emel ke [email protected] atau FB Tabung Baitulmal Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 2:34 PM