PUSAT Perubatan MSU (MSUMC) melancarkan Ujian Pandu Lalu (Drive Thru Test) Covid-19 khusus orang ramai. FOTO Ihsan Pusat Perubatan MSU
PUSAT Perubatan MSU (MSUMC) melancarkan Ujian Pandu Lalu (Drive Thru Test) Covid-19 khusus orang ramai. FOTO Ihsan Pusat Perubatan MSU
Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berkonsepkan pandu lalu khas untuk warga emas dan individu bersimptom secara percuma hari ini dan esok.

Saringan berkenaan dijalankan melalui anak syarikat kerajaan negeri, Selcare di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi maklumat yang dimuat naik di Facebook memaklumkan saringan berkenaan khusus untuk warga emas dan individu yang mempunyai simptom seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.

“Usaha ini adalah satu inisiatif kerajaan negeri menggempur Covid-19 secara habis-habisan,” katanya.

Saringan dilakukan bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang manakala keputusan boleh diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Sejak 11 April lalu, kerajaan negeri mengadakan saringan besar-besaran di zon merah Covid-19 antara lain untuk mengesan jangkitan wabak tanpa simptom di negeri ini.

Berdasarkan data dikongsi sesawang amirudinshari.com semalam, Selangor mencatatkan 1,338 kes positif Covid-19 dengan pertambahan sembilan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 5:08 PM