Nazri Abu Bakar

PERKHIDMATAN digital Perpustakaan Tun Abd Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) seluruh negara mencatat peningkatan sebanyak 81 peratus sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pustakawan PTAR UiTM Malaysia, Noor Hidayat Adnan berkata, berdasarkan statistik, seramai 1,411,839 pengunjung melayari perkhidmatan digital itu pada Mac berbanding 778, 367 Februari lalu.

Katanya, walaupun semua perkhidmatan perpustakaan secara fizikal ditutup ketika PKP, mahasiswa dan pensyarah masih boleh mengakses pelbagai maklumat ilmiah melalui portal perkhidmatan digital terutama selepas pengajian jarak jauh dalam talian (ODL) bermula bermula 13 April sehingga 1 Julai di seluruh sistem UiTM.

“Mereka boleh melayari perkhidmatan di https://library.uitm.edu.my/ dan mengakses lebih 17,0000 judul e-book, 36 pangkalan data dalam talian yang mengandungi lebih satu juta artikel, koleksi kertas soalan, koleksi khazanah Melayu, koleksi Agroteknologi, serta pelbagai bahan sokongan pembelajaran dan penyelidikan.

“Sepanjang tempoh PKP, penggunaan portal e-book meningkat 231 peratus bagi Mac berbanding Februari,” katanya.

Sementara itu, Ts Noor Hidayat berkata, penggunaan portal e-resources (pangkalan data dalam talian) meningkat kepada 162 peratus, laman web perpustakaan 365 peratus: UiTM Institutional Repository (14 peratus) dan Open Access Discovery (503 peratus)

Beliau berkata, menariknya, portal soalan akhir peperiksaan (Electronic Question Paper ExamEQPS) juga menunjukkan penggunaan tinggi sepanjang tempoh PKP iaitu 704,551 paparan halaman meningkat 66.3 peratus berbanding Februari sebanyak 423,630 walaupun semester pengajian baru bermula awal Mac.

Menurutnya, perkhidmatan digital perpustakaan dibangunkan secara komprehensif dan menyeluruh selari dengan trend IR4.0 dan Education 5.0.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 4:33 PM