Empat lelaki yang berhibur dengan meminum minuman keras dan berkaraoke di halaman sebuah rumah di Gelang Patah, Iskandar Puteri. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
Empat lelaki yang berhibur dengan meminum minuman keras dan berkaraoke di halaman sebuah rumah di Gelang Patah, Iskandar Puteri. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
Mohamed Farid Noh


EMPAT lelaki yang minum minuman keras sambil berkaraoke di halaman sebuah rumah di Gelang Patah di sini, ditahan polis petang semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu tindakan suspek berusia 19 hingga 51 tahun itu dirakam dan dimuat naik ke media sosial sehingga tular dan dikecam warganet.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bertindak atas maklumat video tular itu, anggota dari Balai Polis Gelang Patah menyerbu lokasi kejadian.

“Semua lelaki warga tempatan itu di halaman sebuah rumah setinggan di Gelang Patah itu kerana mengingkari PKP.

“Turut dirampas adalah sebuah pembesar suara dan dua mikrofon yang digunakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, semua suspek akan direman mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kesemua suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana dengan niat jahat melakukan perbuatan yang mungkin merebak penyakit berbahaya kepada nyawa orang lain yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu katanya, seramai 2,206 individu ditahan di seluruh negeri ini kerana ingkar PKP sejak 18 Mac lalu hingga kini.

Ayob berkata, bagi tangkapan harian pula, seramai 252 individu berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan semalam.

Katanya, 1,234 individu didakwa di Mahkamah Johor Bahru atas kesalahan ingkar PKP sehingga semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 11:18 AM