ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memeriksa dokumen penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga. FOTO NSTP
ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memeriksa dokumen penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga. FOTO NSTP
Zuliaty Zulkiffli


SEBANYAK 14 laluan lagi akan ditutup menjadikan 21 jalan ditutup di Bandaraya Alor Setar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa ke-3 untuk mengurangkan pergerakan orang ramai.

Sebelum ini, tujuh jalan sudah ditutup sejak PKP Fasa Kedua.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, penutupan jalan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat di kawasan bandar raya ini.

Menurutnya, antara jalan terbabit ialah persimpangan lampu isyarat Pantai Johor ke Gunung Keriang, lampu isyarat Gunung Keriang ke Jalan Suka Menanti, lampu isyarat Taman Malaysia menghala ke Taman Malaysia dan lampu isyarat Hospital Lama ke pusat bandar.

“Kita akan menutup laluan di lampu isyarat Alor Semadom ke pusat bandar, lampu isyarat Bakar Bata, lampu isyarat AEON Big menghala ke Jalan Putra, lampu isyarat Taman Pandan ke pusat bandar (dari Shahab Perdana).

“Jalan lain yang ditutup ialah di lampu isyarat Raden ke pusat bandar, lampu isyarat Jalan Putra menghala ke Taman Rakyat, lampu isyarat menghala Jalan Teratai menghala ke Jalan Pegawai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, jalan lain yang ditutup ialah di simpang Hotel ABC menghala ke pusat bandar, lampu isyarat Tanjung Bendahara hingga ke Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Jalan Teluk Wanjah sebelum jejantas dan lampu isyarat Tandop menghala ke Masjid Aman.

Katanya, selain itu, lampu isyarat Simpang Kuala menghala pusat bandar dan lampu isyarat Alor Mengkudu menghala ke Jalan Tanjung Bendahara turut ditutup.

“Penutupan juga dibuat di lampu isyarat Bunga Tanjung, lampu isyarat Ban Hoe, lampu isyarat bangunan mahkamah lama dan lampu isyarat Pekan Melayu menghala ke pusat bandar.

“Sekatan jalan raya juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan kita akan menambah satu lagi sekatan yang menjadikan keseluruhan lapan sekatan di daerah Kota Setar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 6:11 PM