SEKATAN jalan raya di SJR Jalan Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang bagi tempoh hampir sebulan sejak 18 Mac hingga 14 April lalu. FOTO ihsan Polis
SEKATAN jalan raya di SJR Jalan Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang bagi tempoh hampir sebulan sejak 18 Mac hingga 14 April lalu. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


BUKAN sahaja perlu berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu serta karenah orang awam, malah wujud risiko kemalangan tidak diduga ketika bertugas.

Itu situasi perlu dihadapi petugas di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu sehingga 28 April ini.

Bagi Konstabel Muhammad Haizad Nordin, 28, yang bertugas di SJR Jalan Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, dia mengalami kecederaan di hidung dan kepala selepas terbabit dalam insiden khemah di lokasi berkenaan ranap pada 7 April lalu.

“Ketika kejadian jam 12.20 tengah malam, saya sedang bertugas bersama beberapa anggota lain sebelum kami berehat sebentar kerana hujan lebat serta ribut petir.

“Semasa berehat, secara tiba-tiba khemah berkenaan ranap dan kipas yang dipasang dalam khemah berkenaan mengenai hidung serta kepala saya.

“Saya terus keluar dari khemah berkenaan sebelum seorang daripada rakan memaklumkan hidung saya luka dan ada darah di kepala saya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

KEADAAN Konstabel Muhammad Haizad Nordin, 28, yang cedera di bahagian hidung akibat terkena kipas selepas khemah di lokasi dia bertugas. FOTO ihsan Polis
KEADAAN Konstabel Muhammad Haizad Nordin, 28, yang cedera di bahagian hidung akibat terkena kipas selepas khemah di lokasi dia bertugas. FOTO ihsan Polis

Muhammad Haizad berkata, dia yang dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut menerima lima jahitan di hidung selain luka di kepala.

“Malah, saya juga dimaklumkan hidung saya patah dalam kejadian itu. Ketika ini, saya diberikan cuti sakit sementara menunggu rawatan susulan.

“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah salah satu perkara yang perlu dihadapi sebagai anggota polis kerana memang sudah menjadi tugas kami untuk berdepan risiko insiden seumpama ini,” katanya yang bertugas di Bahagian Tugas Am Balai Polis Serdang.

Sementara itu, seorang lagi anggota polis, Konstabel Sweztrearly Embuloi, 21, berkata, tuntutan tugasnya menjaga SJR di Jalan Putra Permai sejak 18 Mac hingga 14 April lalu menyebabkan dia mengalami selaran matahari.

MUKA Konstabel Sweztrearly Embuloi, 21, yang mengalami selaran matahari ketika bertugas. FOTO ihsan Polis
MUKA Konstabel Sweztrearly Embuloi, 21, yang mengalami selaran matahari ketika bertugas. FOTO ihsan Polis

“Pada mulanya saya tidak perasan tona kulit muka saya semakin gelap sehingga ada rakan yang menegur memaklumkan saya mengalami selaran matahari.

“Perubahan itu jelas kelihatan selepas lebih seminggu saya bertugas di SJR berkenaan kerana cuaca panas di lokasi terbabit,” katanya yang bertugas di Bahagian Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Serdang.

Menurutnya, pelbagai karenah orang awam yang perlu dihadapi petugas termasuk individu bertindak melampau dengan memarahi petugas dan enggan memberi kerjasama.

“Sepanjang tempoh hampir sebulan bertugas di SJR berkenaan, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan orang ramai termasuk mahu keluar makan di rumah orang tua kerana tidak tahu memasak serta mahu membeli vape selepas jam 9 malam.

“Malah, ada juga yang memarahi petugas dan enggan memberikan kerjasama apabila diarahkan membuat pusingan U selepas alasan diberikan tidak munasabah.

“Melalui pengalaman sebegitu menyebabkan saya sudah lali dengan situasi berkenaan dan sama sekali tidak melunturkan semangat untuk menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 4:12 PM