DR Zarina sedang melakukan ujian saringan ke atas sampel Covid-19 di makmal BSL 3, UMS. FOTO Yun Mikail
DR Zarina sedang melakukan ujian saringan ke atas sampel Covid-19 di makmal BSL 3, UMS. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


MAKMAL Bio Keselamatan Tahap Tiga (BSL 3) milik Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara makmal universiti awam yang menjalankan ujian saringan Covid-19.

Makmal berkenaan menjadi kelebihan kepada UMS berikutan hanya tiga makmal seumpama itu di seluruh negara selain Universiti Malaya (UM) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS Dr Zarina Amin berkata, makmal BSL 3 terletak di Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS itu memiliki prasarana bio keselamatan yang membolehkan penyelidikan kuman bahaya dijalankan dalam keadaan selamat.

Ia seterusnya membolehkan penyelidik menjalankan tahap penyelidikan lebih tinggi.

Menurut Zarina, makmal BSL 3 UMS turut direka khas bagi penyelidikan membabitkan ejen penyakit berjangkit (patogen) tahap tiga termasuk Tuberkulosis, virus H1N1, virus Japan Encephalitis (JE) dan virus Nipah.

DR Zarina (kanan) bersama Profesor Madya Dr Lee Ping Chin (kiri) sebelum masuk menjalankan tugas di makmal BSL 3, UMS. FOTO Yun Mikail
DR Zarina (kanan) bersama Profesor Madya Dr Lee Ping Chin (kiri) sebelum masuk menjalankan tugas di makmal BSL 3, UMS. FOTO Yun Mikail

“Kelebihan lain ialah UMS memiliki beberapa penyelidik yang mempunyai kepakaran menjalankan aktiviti penyelidikan perubatan molekular di BSL 3.

“Malah penyelidik sama juga arif dalam genetik molekul dan penjujukan genom Covid-19.

“Oleh itu, kita berpendapat makmal ini paling sesuai untuk menjalankan ujian sampel Covid-19 ekoran persekitaran makmal sesuai dengan keadaan semula jadi virus itu sendiri yang sangat berbahaya,” katanya ditemui di UMS.

Zarina berkata, walaupun kumpulannya bukan dalam kalangan doktor perubatan namun beliau yakin menerusi kepakaran dimiliki, UMS dapat membantu meringankan beban makmal kesihatan awam di Sabah bagi melakukan ujian saringan Covid-19.

“Saya difahamkan terdapat lebih 4,000 sampel Covid-19 yang perlu melalui ujian ketika ini.

“UMS sejak 13 April secara tetap menerima ketetapan menjalankan ujian saringan Covid-19 untuk 160 sampel sehari,” katanya.

Menurut beliau, seluruh kumpulan penyelidik Covid-19 UMS juga bersetuju untuk bekerja tujuh hari seminggu bagi melakukan ujian ini.

SALAH seorang penyelidik daripada pasukan penyelidik Covid-19 UMS sedang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum  menjalankan tugas di makmal BSL 3, UMS. FOTO Yun Mikail
SALAH seorang penyelidik daripada pasukan penyelidik Covid-19 UMS sedang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum menjalankan tugas di makmal BSL 3, UMS. FOTO Yun Mikail

“Kami jangkakan dapat menjalankan ujian untuk lebih 1,000 sampel setiap minggu berdasarkan kerjasama pasukan serta pengorbanan waktu kerja yang sudah dipersetujui,” katanya.

Sementara itu, berkaitan pasukan penyelidik Covid-19 UMS yang diketuainya, Zarina berkata, pasukan terdiri daripada 10 individu namun hanya enam penyelidik sahaja melakukan proses ujian saringan berkenaan.

“Ia dibantu dua pakar analisis data pasca ujian manakala dua kakitangan lain membantu perkara berkaitan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 2:21 PM