PASUKAN Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan melakukan kerja-kerja nyahcemar dan sanitasi di Masjid Sheikh Haji Ahmad, Taman Nusari Aman, Sendayan, selepas dijadikan lokasi saringan COVID-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PASUKAN Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan melakukan kerja-kerja nyahcemar dan sanitasi di Masjid Sheikh Haji Ahmad, Taman Nusari Aman, Sendayan, selepas dijadikan lokasi saringan COVID-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Redzuan Muharam


ZON merah Covid-19 di seluruh negara kekal 27 dan tiada pertambahan kawasan baharu direkodkan setakat jam 12 tengah malam, semalam.

Maklumat itu dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook rasminya semalam dan akaun Twitter KKM Putrajaya, hari ini.

Kelmarin, Muar dikategorikan sebagai zon merah selepas kawasan berkenaan merekodkan 46 kes positif Covid-19.

Berdasarkan data berkenaan, Selangor masih mendahului dengan kes tertinggi direkodkan di daerah Hulu Langat (440 kes) diikuti Petaling (363 kes), Klang (171 kes), Gombak (142 kes), Sepang(68 kes) dan Hulu Selangor (49 kes).

Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 926 kes yang mana Lembah Pantai, Kepong, Titiwangsa dan Cheras dikategorikan sebagai zon merah.

Johor pula merekodkan 601 kes dengan Kluang, Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar dikategorikan sebagai zon merah.

Lain-lain kawasan zon merah di semenanjung terletak di Putrajaya (54 kes), Jasin (68 kes), Melaka Tengah (51 kes) Rembau (53 kes), Seremban (262 kes), Hilir Perak (65 kes), Kinta (93 kes), Kuantan (106 kes), Jerantut (72 kes) dan Kota Bharu (90 kes).

Di Sabah, hanya daerah Tawau dikategorikan sebagai zon merah dengan 79 kes manakala Kuching mencatat 245 kes iaitu yang tertinggi di Sarawak diikuti Kota Samarahan (54 kes).

Daerah lain di seluruh negara merekodkan satu hingga 40 kes kecuali Yan, Machang, Hulu Terengganu, Kapit, Asajaya, Baram, Bau, Belaga, Dalat, Daro, Julau, Kanowit, Lundu, Song, Saratok, Lubok Antu, Meradong, Pekan, Tatau, Selangau, Kota Marudu, Kudat, Nabawan, Pitas, Tenom, Kuala Penyu, Tongod dan Beluran yang masih bebas kes Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 2:04 PM