DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Saifullizan Tamadi
DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Saifullizan Tamadi
Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh enam bulan lagi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kelulusan itu membabitkan penyambungan perkhidmatan kontrak seramai 79 Pegawai Perubatan Gred UD41, 852 Pegawai Pergigian Gred UG41 dan 1,139 Pegawai Farmasi Gred UF41 yang akan diuruskan dari semasa ke semasa.

Katanya, keputusan itu hanya membabitkan petugas kontrak perkhidmatan yang telah dan akan berakhir secara berperingkat pada akhir 2019 dan 2020 sahaja.

“Langkah ini juga sangat bertepatan serta selari dengan matlamat kerajaan dan KKM untuk menangani dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“KKM amat prihatin terhadap situasi semasa dan suara hati segenap lapisan rakyat serta tanggungjawab besar yang dipikul warga kerja KKM di barisan hadapan dalam menghadapi cabaran besar wabak covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Adham berkata, kerajaan berharap penyambungan kontrak perkhidmatan ini dapat menyediakan peluang kepada pegawai untuk terus berkhidmat serta memastikan penyampaian kesihatan terus berjalan lancar dan memberi banyak manfaat kepada rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:41 PM