Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 13 pusat akademi penjara akan dijadikan pusat tahanan bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara kepada pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang masih berdegil dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang gagal mematuhi PKP.

Menurutnya, sekarang timbul isu ramai yang ditangkap di mana sudah kurang pemberian kompaun di mana apabila dibawa ke mahkamah timbul isu penjara terlalu sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dilakukan.

“Mesyuarat semalam membuat keputusan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan baru kepada pesalah ingkar PKP dan berkaitan dengannya.

“Jadi kita boleh selesaikan isu penjarakan sosial dan sebagainya di mana peraturan serta undang-undang sama dengan penjara biasa,”katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

ISMAIL Sabri Yaakob bercakap semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri Yaakob bercakap semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA

Ismail berkata, apabila mereka ditempatkan di situ bukan bermakna bermewah dari segi makanan tetapi standar prosedur operasi (SOP) sama seperti penjara biasa.

“Perkara lebih lanjut mengenai perundangan akan dibincangkan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam negara dan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 3:00 PM