RAKAMAN video kemalangan motosikal yang melawan arus lmeanggar bahagian hadapan SUV di susur keluar Maktab PDRM. FOTO Facebook
RAKAMAN video kemalangan motosikal yang melawan arus lmeanggar bahagian hadapan SUV di susur keluar Maktab PDRM. FOTO Facebook
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN seorang penghantar makanan menunggang motosikal melawan arus mengundang padah apabila dia cedera selepas melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di susur keluar Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 11.20 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pemandu SUV Proton X70 berusia 40-an berkenaan keluar dari arah pintu utama Maktab PDRM menuju ke tempat kerjanya di Selayang.

“Pada masa sama, penghantar makanan berusia 20-an itu yang menaiki motosikal Yamaha LC menunggang motosikal secara melawan arus ke susur keluar maktab terbabit lalu terlanggar bahagian hadapan SUV berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan patah tulang paha kanan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

“Pemandu SUV berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

“Laporan polis sudah dibuat oleh pemandu SUV berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit satu saat menunjukkan penghantar makanan berkenaan mengambil kotak makanan yang terjatuh selepas kejadian itu tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 8:09 PM