PENDUDUK di Kampung Ayer Merbau membuat saingan. FOTO NSTP
PENDUDUK di Kampung Ayer Merbau membuat saingan. FOTO NSTP
Amir Mamat


PENDUDUK di Kampung Ayer Merbau, Jasin, diarah menjalani saringan kesihatan susulan peningkatan jumlah indeks positif kes wabak Covid-19 di kampung berkenaan sejak minggu lalu.

Arahan berkuat kuasa serta-merta itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan terdapat sekurang-kurangnya 30 kes membabitkan guru serta pelajar di sebuah madrasah pengajian al-Quran yang positif pendamik terbabit sejak bulan lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, saringan itu diutamakan kepada penduduk yang mempunyai kontak dengan individu disahkan positif termasuk mereka yang pernah menghadiri solat Jumaat di Masjid Al-Marbawi Kampung Ayer Merbau pada 13 Mac lalu.

“Walaupun kes berlaku dalam madrasah itu tidak membabitkan penduduk tempatan, sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Kesihatan negeri meminta semua penduduk untuk melakukan saringan.

“Kami khuatir jika pelajar pusat tahfiz itu ada berjumpa dengan orang kampung terutama ketika solat Jumaat pada 13 Mac lalu.

“Langkah terbaik adalah membuat saringan untuk memastikan mereka bebas daripada jangkitan wabak itu,” katanya.

Sehingga 3 petang hari ini, hampir 200 penduduk sudah menjalani saringan yang diadakan di Masjid Al-Marbawi.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 70 daripada 111 pelajar lelaki di Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar, Kampung Ayer Merbau, dipindahkan ke Pusat Kuarantin Covid-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CReATE) Jabatan Kerja Raya di Alor Gajah bagi menjalani proses kuarantin berpusat.

Ia susulan terdapat pelajar dan guru madrasah itu dikesan positif Covid-19 selepas dipercayai mempunyai kaitan dalam kes indeks kluster tabligh di Masjid Seri Petaling.

Sementara itu, ketika ditemui selepas mengagihkan bekalan ayam daging kepada masyarakat terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ayer Molek, hari ini, Rahmad berkata, beberapa hotel di negeri ini akan dijadikan pusat kuarantin Covid-19 sebagai persediaan jika berlaku kesesakan di beberapa pusat disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur ketika ini.

Beliau berkata, pusat kuarantin terbabit disediakan khusus untuk individu pulang dari luar negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pemilihan hotel sebagai pusat kuarantin kerana premis berkenaan menepati prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan iaitu mempunyai banyak bilik dengan setiap bilik hanya akan menempatkan seorang pesakit.

“Kami bersedia lebih awal sekiranya berlaku kesesakan di pusat kuarantin sedia ada dan persediaan itu diharap akan memberi kemudahan kepada KKM serta individu dikuarantin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 6:57 PM