AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI
Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor memilih beberapa kawasan panas di Hulu Langat sebagai lokasi awal menjalankan ujian saringan komuniti yang bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan berskala besar itu adalah yang pertama kali dilakukan di negara ini dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

“Ini adalah usaha sama kerajaan negeri bersama pihak swasta dan disokong oleh sukarelawan dengan penyelarasan oleh anak syarikat kerajaan negeri, SELCARE.

“Kita menyasarkan kira-kira 400 hingga 500 ujian saringan dilakukan sehari supaya lebih banyak kes yang boleh dikenal pasti, terutama bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas dengan bantuan data analisis yang kita akan peroleh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, saringan besar-besaran itu dijayakan oleh 48 petugas perubatan.

Katanya, misi saringan berkenaan dilaksanakan mengikut prosedur dan pengawalan yang ketat, dengan penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan pematuhan pada penjarakan sosial (social distancing).

“Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan operasi ini terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sukarelawan yang sanggup mengambil risiko untuk berada di garis hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan kerajaan Selangor akan mengadakan ujian saringan di beberapa lokasi terpilih untuk mengesan jangkitan Covid-19 tanpa simptom di negeri itu.

Beliau berkata, menerusi rekod kerajaan negeri, lebih 225 kes positif Covid-19 di kesan tiada simptom yang kebiasaan dialami pesakit seperti selsema, hilang deria rasa serta bau dan lain-lain.

“Dengan adanya data berkenaan, kita akan dapat memperhebatkan lagi proses seterusnya dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 3:42 PM