Zuliaty Zulkiffli


DUA lelaki ditahan polis kerana disyaki memfitnah dengan memuat naik status di Facebook (FB) kononnya anggota pasukan keselamatan itu mengambil duit ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang di Alor Setar, malam tadi.

Lelaki pertama yang berusia 27 tahun ditahan pada 11.30 malam tadi di rumahnya di Kampung Sungai Baru Gunung selepas dua jam memuat naik status itu dengan mendakwa kononnya polis mengambil wang dari rakannya yang bekerja sebagai penghantar makanan ketika SJR.

Difahamkan, lelaki berkenaan sudah memadam status berkenaan tetapi ia sempat ditangkap layar dan diterima pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, hasil siasatan mendapati suspek memuat naik status itu selepas dimaklumkan oleh rakannya yang kedua berusia 26 tahun kononnya polis membuka dompetnya dan mengambil wang ketika pemeriksaan dilakukan di SJR.

Polis menyoal siasat dua lelaki yang ditahan berkaitan status di FB memfitnah polis di SJR di Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang, Alor Setar, malam tadi. Foto Zuliaty Zulkiffli
Polis menyoal siasat dua lelaki yang ditahan berkaitan status di FB memfitnah polis di SJR di Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang, Alor Setar, malam tadi. Foto Zuliaty Zulkiffli

Menurutnya, susulan itu lelaki kedua ditahan pada 11.40 malam di tepi jalan di persimpangan lampu isyarat Pantai Johor ke Gunung Keriang untuk untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek kedua positif dadah jenis methamphetamine, manakala suspek pertama bebas dadah.

“Siasatan turut mendapati suspek kedua cuba merasuah anggota kami yang sedang melakukan pemeriksaan di SJR malam tadi,” katanya.

Mohd Rozi berkata, kedua lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Selain itu, polis turut merampas telefon bimbit milik kedua suspek untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 9:13 AM