SANI  melakukan pemeriksaan di kedai runcit di sekitar Kajang, semalam.
SANI melakukan pemeriksaan di kedai runcit di sekitar Kajang, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


HARGA bahan basah dibekalkan pemborong mahal. Itu alasan diberikan peniaga kedai runcit di sekitar daerah ini yang dikenakan tindakan notis kerana disyaki menjual barang basah pada harga melampau ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kajang, sebanyak 30 kedai runcit di sekitar daerah ini diperiksa, Isnin lalu hingga semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Pejabat KPDNHEP Kajang Muhamad Sani Mohammad Nor berkata, pihaknya menerima banyak aduan membabitkan kedai runcit menjual harga barang basah pada harga melampau sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

“Berdasarkan aduan diterima, kami melakukan pemeriksaan sebanyak 1,050 premis di sekitar daerah ini yang dilakukan pegawai penguat kuasa bersama pegawai pemantau harga.

“Pada minggu ini pula, kira-kira 30 kedai runcit diperiksa di Bangi, Rinching Hilir, Bandar Sri Putra, Bukit Mahkota, Bandar Baru Bangi dan Ampang.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 15 tindakan kes diambil kerana kesalahan tidak mempamerkan tanda harga serta empat notis dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atas kesalahan disyaki menjual barang dengan harga melampau,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Muhamad Sani berkata, berdasarkan keterangan daripada peniaga kedai runcit, mereka mendakwa bekalan barang basah terutamanya ikan dibeli daripada pemborong pada harga mahal.

“Peniaga kedai runcit mendakwa harga ikan dibeli daripada pemborong mahal.

“Kenaikan harga di peringkat pemborong itu menyebabkan mereka mendakwa terpaksa menjual ikan pada harga antara RM1 hingga RM2 lebih tinggi berbanding harga biasa bagi setiap kilogram,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pengeluaran notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan terhadap mana-mana pihak didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara bagi membendung kenaikan harga tidak munasabah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang tidak mematuhi undang-undang boleh menyalurkan aduan kepada pejabat KPDNHEP Selangor melalui laman sesawang [email protected] atau hubungi pusat panggilan di talian 1800 886800 selain email di alamat [email protected],” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 6:39 PM