ANGGOTA polis dan tentera membuat kawalan di jalan Pedas-Rembau berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ANGGOTA polis dan tentera membuat kawalan di jalan Pedas-Rembau berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau terus pertingkatkan sekatan jalan raya (SJR) dan pemantauan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Rembau ditakrifkan sebagai zon merah Covid-19.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya bertindak tegas terhadap mereka yang ingkar arahan PKP.

Katanya, semua individu perlu kekal berada di rumah sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.

“Kami akan meneruskan operasi SJR dan pemantau di lokasi tumpuan untuk memastikan tiada individu cuba berkumpul.

“Setakat ini kepatuhan penduduk daerah ini terhadap PKP mencapai 97 peratus, namun operasi diteruskan menerusi SJR dan rondaan di kawasan tumpuan,” katanya, hari ini.

Rembau antara kawasan baharu selepas Seremban diisytihar sebagai zon merah Covid-19 apabila sehingga kini merekodkan 48 kes.

Dalam sidang media di Putrajaya semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan terdapat sub-kluster di Rembau, yang berkaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling.

Dr Noor Hisham berkata, kluster itu mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 positif bagi beberapa guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas, dan penularan itu dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat diadakan di sekolah berkenaan.

Berpandukan laporan terkini Covid-19 di daerah ini oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), pecahan menunjukkan Batu Hampar merekodkan 10 kes, Kundur (8), Pilin (7), Chembong (5), Semerbok (3) dan masing-masing satu kes di kawasan Chengkau, Bongek, Tanjung Keling dan Selemak.

Mengulas lanjut, Anuar Bakri berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai perkembangan itu.

“Saya berharap semua pihak dapat memberi sokongan kepada usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini dengan mematuhi arahan PKP,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rembau, meneruskan program sanitasi awam atau nyahkuman di Pejabat Pendidikan Daerah, hari ini.

Komander Operasi, Mohd Fuad Majid berkata, seramai 13 anggota termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam program berkenaan.

“Semburan dilakukan dalam kawasan luar dalam bangunan termasuk bilik mesyuarat, kantin ,ruang legar dan dom membabitkan seluas 9,000 meter.

“Program sanitasi ini akan diteruskan di beberapa lokasi lain termasuk pasar awam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:48 PM