Syaherah Mustafa


PENYELUDUP petrol dipercayai menjalankan aktiviti menyeludup minyak masak ke negara jiran susulan pemeriksaan terhadap sebuah kereta di Wakaf Zin, Ayer Lanas di Jeli, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, pihak berkuasa membuat rondaan sebelum terserempak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan pada 7.30 malam.

Menurutnya, selepas diberi arahan pemandu dipercayai warga tempatan itu menghentikan kenderaannya tetapi melarikan diri sebelum anggota membuat pemeriksaan dan menemui sebanyak 170 kilogram (kg) minyak masak yang sudah dipaketkan.

“Hasil pemeriksaan, mendapati kereta terbabit juga dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan petrol kerana terdapat tangki minyak yang diubah suai dengan saiz yang besar selain dilengkapi saluran untuk memindahkan petrol.

“Kesemua bekalan minyak masak ini dipercayai dibawa dari luar Kelantan untuk diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram.

RAMPASAN minyak masak yang cuba diseludup menggunakan sebuah kereta diubah suai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAMPASAN minyak masak yang cuba diseludup menggunakan sebuah kereta diubah suai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Ia berkemungkinan kerana harga minyak masak yang lebih tinggi di negara jiran yang mencapai RM60 sekotak berbanding hanya RM42.60 bagi pasaran tempatan.

“Suspek juga dipercayai individu sama yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota KPDNHEP pada 7 Mac lalu di sebuah stesen minyak di Bukit Bunga,” katanya ketika sidang media di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah, hari ini.

Ahmad Azizi berkata, pihaknya tidak akan lepas tangan dan terus menyiasat bagi menjejaki suspek terbabit dengan dibantu beberapa agensi lain.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana ada dalam milikan barang kawalan berjadual dalam syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan tanpa lesen sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:23 PM