Azman (kiri) memeriksa bekalan padi di sebuah kilang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Azman (kiri) memeriksa bekalan padi di sebuah kilang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Yusmizal Dolah Aling


FOKUS kepada sistem pengedaran dan pemasaran beras sedia ada supaya tidak menimbulkan panik dalam kalangan rakyat terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu azam Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Azman Mahmood susulan pelantikannya ke jawatan itu Isnin lalu.

Katanya, penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia ketika ini membuka ruang kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras, kementerian itu melihat semula mekanisme kawalan melalui pengeluaran lesen kepada pemain industri yang perlu digunakan sebaiknya dalam mengimbangi pengedaran beras di seluruh negara.

Katanya, rantaian perbekalan juga perlu dibantu bagi memastikan aktiviti pengedaran dan pemasaran beras dapat sampai ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.

Azman berkata, beberapa pindaan perlu dibuat terhadap Akta dan Peraturan sedia ada termasuk Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) supaya selari dengan perkembangan semasa.

“Mengambil kira industri yang semakin dinamik, pindaan tertentu perlu dibuat bagi memastikan peraturan terus relevan dan fungsi penguat kuasa KPB dapat diperkukuhkan.

“Jika bercakap tentang keselamatan makanan, kita tidak dapat lari dari membincangkan tiga perkara utama iaitu kecukupan makanan, mudah didapati pada setiap masa dan selamat untuk dimakan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, walaupun timbul pelbagai dakwaan mengenai bekalan komoditi itu, kedudukan bekalan beras negara masih terkawal mengambil kira kedudukan stok beras yang konsisten iaitu purata 400,000 hingga 500,000 tan metrik pada setiap masa selain pengeluaran padi tempatan serta bekalan import masih beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, untuk itu pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin ke seluruh negara setiap hari bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi sepanjang PKP.

“Berdasarkan kajian yang dibuat sebelum ini, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 78 kilogram beras setiap tahun. Jumlah ini adalah bersamaan dengan 200 gram setiap hari seorang.

“Anggaran purata penggunaan isi rumah (lima orang) adalah sebanyak satu kilogram sehari. Jumlah ini adalah agak normal dan seimbang bagi negara Asean lain.

“Untuk itu negara perlu menyediakan kira-kira 2.5 juta tan metrik beras setahun bagi menampung keperluan isi rumah di negara Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 1:55 PM