GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh


LEBIH ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka pulang ke negara ini menjelang minggu depan susulan langkah republik itu melaksanakan langkah lebih ketat selama sebulan bagi membendung Covid-19.

Shahran Ariff, 52, rakyat Malaysia bekerja sebagai penyelia chef di sebuah restoran Perancis di Tanjung Pagar berkata, ia berikutan beberapa syarikat terpaksa ditutup manakala rakyat Malaysia yang sebelum ini diberi tempat tinggal sementara termasuk makan minum, juga perlu meninggalkan republik berkenaan.

Shahran berkata, ramai pekerja terjejas diarahkan bercuti sementara namun mereka bimbang nasib mereka selepas arahan penutupan itu berakhir sama ada akan dipanggil bekerja semula atau sebaliknya.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia yang akan pulang minggu depan membabitkan mereka yang bekerja di syarikat tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sebulan.

“Sebelum ini, kebanyakan majikan menyediakan tempat tinggal sementara di hotel sejak 18 Mac lalu apabila Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun apabila arahan lebih ketat turut dilaksanakan Singapura, ada syarikat yang perlu menutup operasi sementara dan pekerja Malaysia tiada pilihan selain pulang dahulu kerana diberi cuti,” katanya dihubungi.

Bagaimanapun, menurut Shahran, ramai juga pekerja Malaysia yang akan terus kekal di republik itu.

Ia membabitkan mereka yang bekerja di industri perkilangan dan pembuatan, pelabuhan, perkapalan, makanan, pengangkutan dan logistik selain pembersihan dengan majikan mereka terus menyediakan tempat tinggal sementara serta makan minum ditanggung.

Semalam, Harian Metro melaporkan, beberapa hospital dan klinik di Singapura mulai sesak berikutan rakyat Malaysia yang mahu pulang ke negara ini perlu melakukan ujian kesihatan termasuk ujian calitan (swab test) seperti disyaratkan kerajaan sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Kegagalan mereka melakukan ujian kesihatan termasuk mengemukakan keputusan ujian calitan menyebabkan mereka akan dihantar terus ke pusat kuarantin bagi dikuarantin selama 14 hari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 1:23 PM