SOFIA SAFIE
SOFIA SAFIE
Mohamed Farid Noh


RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura dan diberi cuti sebulan tiada pilihan selain pulang ke negara ini berikutan perlu menanggung kos tinggi jika mahu tinggal di sana selama dua minggu seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pekerja Malaysia di Singapura, Sofia Safie, 35, berkata, ramai rakyat Malaysia yang diberi cuti sebulan mahu segera pulang ke Malaysia berikutan tidak mampu menanggung kos sara hidup tinggi di republik terbabit.

“Kini rakyat Malaysia mula memenuhi hospital dan klinik di Singapura menyebabkan berlaku kesesakan kerana mereka mahu melakukan ujian kesihatan dan calitan tekak seperti disyaratkan.

“Harga ujian berkenaan adalah sekitar SGD $150 (RM456.43) dan kebanyakan majikan hanya membayar SGD $50 (RM152.14) bagi setiap pekerja dengan bakinya perlu dibayar sendiri, ” katanya.

Semalam, pada sidang media di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan meminta rakyat Malaysia yang berada di Singapura supaya kekal di negara berkenaan dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan kedua-dua negara sedang mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura perlu mengemukakan sijil kesihatan yang mengandungi keputusan ujian calitan tekak dari Singapura sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

“Kami tidak halang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk pulang ke Malaysia namun ia perlu memenuhi syarat itu.

“Mereka harus menyediakan sijil kesihatan ‘fit to travel’ termasuk keputusan ujian calitan tekak yang dikeluarkan hospital atau klinik dari republik berkenaan.

“Jika tiada sijil kesihatan itu termasuk keputusan ujian yang dilakukan di Singapura sebelum kembali ke Malaysia, mereka akan dihantar terus ke pusat kuarantin disediakan kerajaan,” katanya dihubungi hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 8:36 PM