AZMIR Damiri (tengah) menunjukkan dua kotak besar mengandungi 1,000 kotak rokok seludup di Balai Polis Ibu Pejabat (IPD) Pasir Puteh. FOTO  Ihsan pembaca
AZMIR Damiri (tengah) menunjukkan dua kotak besar mengandungi 1,000 kotak rokok seludup di Balai Polis Ibu Pejabat (IPD) Pasir Puteh. FOTO Ihsan pembaca
Nor Amalina Alias


DUA lelaki yang cuba menyeludup 1,000 kotak rokok dengan menyembunyikannya dalam timbunan buah ditahan polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) yang di depan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh malam tadi.

Pemandu bersama kelindan lori berusia 45 dan 30 tahun itu ditahan dalam SJR yang diadakan sempena perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 9.15 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketika sekatan dilakukan, pemandu dan kelindan yang mendakwa dari Dungun dipercayai menuju ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kota Bharu.

Menurutnya, lori itu dipenuhi muatan buah nanas dan timun tetapi hasil pemeriksaan lanjut menemui dua buah kotak besar rokok seludup dipercayai untuk dipasarkan ke negeri ini.

“Mereka cuba mengaburi polis dengan menyembunyikan kotak besar itu yang mengandungi 50 kartun dengan jumlah semua 1,000 kotak rokok di bawah timbunan buah-buahan.

“Siasatan awal mendapati pemandu memaklumkan dia hanya menerima upah membawa rokok seludup dan akan ada orang lain akan mengambil stok itu apabila tiba di RTC,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azmir berkata, berdasarkan harga pasaran semasa nilai rampasan membabitkan kira-kira RM9,000.

Menurutnya, pemandu dan kelindan itu ditahan reman bermula hari ini selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Saya nasihatkan masyarakat terutamanya pengusaha bekalan keperluan asas jangan ambil kesempatan atas kelonggaran PKP yang diberikan kerajaan untuk membuat aktiviti yang tidak sepatutnya seperti menyeludup rokok,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memperketat kawalan bagi mengekang aktiviti penyeludupan terutamanya ketika PKP di tiga lokasi SJR di depan Balai Polis Bukit Yong, Kampung Alor Hijau dan Kampung Bukit Ajam iaitu sempadan antara Kelantan dan Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 7:32 PM