KPDNHEP Kelantan memeriksa meriksa wayar pam minyam serta tong plastik berisi minyak patrol di dalam kereta yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KPDNHEP Kelantan memeriksa meriksa wayar pam minyam serta tong plastik berisi minyak patrol di dalam kereta yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merekodkan sebanyak empat kes penyeludupan membabitkan petrol dan minyak masak sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata, bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan di sempadan Malaysia-Thailand, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain iaitu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7).

Menurutnya, kes pertama dilaporkan pada 19 Mac lalu membabitkan rampasan minyak masak sebanyak 510 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM1,275 selepas pemeriksaan terhadap sebuah kereta.

“Bagi kes kedua pada 23 Mac membabitkan rampasan 35 tong petrol berjumlah 875 liter bernilai RM1,260 yang dijumpai dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kes ketiga dilaporkan pula pada 28 Mac membabitkan rampasan 15 liter petrol dalam sebuah kereta dengan nilai RM20.70.

“Kes yang terbaharu dilaporkan adalah pada Sabtu lalu, apabila anggota Batalion 7 PGA melakukan serbuan terhadap sebuah bot pancung di pangkalan haram Nik Mat Rantau Panjang.

“Beberapa suspek berjaya melarikan diri tetapi pihak berkuasa berjaya merampas 12 tong berisi 300 liter petrol bernilai RM312,” katanya ketika sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP di Chicha Menyabung di Kota Bharu hari ini.

Azanizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana pemilikan barangan kawalan berjadual dalam syak dan Peraturan 3(1) Peratura-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan tanpa lesen yang sah.

Menurutnya, pihaknya percaya dengan penurunan harga minyak yang diumumkan kerajaan baru-baru ini turut mempengaruhi faktor penyeludupan yang berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:59 PM