Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEMENTERIAN Luar Negeri (KLN) sudah memaklumkan kepada pihak kedutaan asing yang warganya kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua bangunan di Jalan Masjid India bermula semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam Mesyuarat Kabinet, KLN sudah diminta berhubung untuk memastikan kedutaan asing membantu warganya yang kini berada di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Menurutnya, warga asing yang berada di negara ini adalah tanggungjawab sepenuhnya kedutaan masing-masing dari segi kebajikan.

“Bagaimanapun kerajaan beri alternatif kepada mereka yang tinggal di dua bangunan berkenaan untuk membeli makanan sendiri.

“Petugas barisan hadapan yang diletakkan di bangunan berkenaan akan membantu membelikan barangan keperluan tapi mereka perlu bayar sendiri dan diletakkan di tempat khusus,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

KELIHATAN petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan Covid-19 kepada penduduk bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion. FOTO Asyraf Hamzah
KELIHATAN petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan Covid-19 kepada penduduk bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion. FOTO Asyraf Hamzah

Dua bangunan itu diperintahkan menjalani PKPD bermula semalam selepas terdapat 15 individu di lokasi berkenaan dikesan positif Covid-19.

PKPD di dua bangunan itu membabitkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu berkuat kuasa sehingga pengesanan tamat.

Ia terletak dalam jarak 500 meter dari lokasi Plaza City One yang turut dikenakan PKPD bermula 31 Mac lalu.

Sebelum ini kerajaan mengeluarkan PKPD di tiga kawasan iaitu di Kluang, Johor; Hulu Langat, Selangor dan semua penduduk di kawasan berkenaan tidak dibenarkan keluar manakala bantuan makanan akan disalurkan JKM dan agensi lain sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:30 PM