AZMAN, (tengah kemeja biru muda) meninjau jualan peniaga di Pasar Segar Terkawal di Pusat Operasi FAMA Sungai Petani, di sini. FOTO Nor Farhani Che Ad
AZMAN, (tengah kemeja biru muda) meninjau jualan peniaga di Pasar Segar Terkawal di Pusat Operasi FAMA Sungai Petani, di sini. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


LEBIH 100 peniaga di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah melakukan penghantaran barangan ke rumah pelanggan sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin berkata, kaedah itu sekali gus dapat mengelakkan kesesakan berlaku di pusat jualan FAMA negeri.

“Selain pembelian terus di pusat jualan, FAMA memberi kemudahan kepada peniaga menjalankan perniagaan barang basah dan buah-buahan untuk membuat penghantaran terus ke rumah pelanggan.

“Pelanggan juga boleh membuat pesanan awal dan mengambil barangan di pusat jualan FAMA tanpa perlu beratur panjang,” katanya ketika memantau operasi di Pasar Segar Terkawal (PST) di Pusat Operasi FAMA Sungai Petani, hari ini.

Katanya, lebih RM130,000 nilai jualan direkodkan melalui kaedah penghantaran barangan yang dijalankan setakat semalam.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata, FAMA juga bercadang menambah tiga lagi PST bagi memaksimumkan rantaian bekalan dan pemasaran makanan di negeri itu sepanjang PKP.

Katanya, ketika ini, terdapat empat Pasar Tani Kekal (PTK) iaitu di Guar Chempedak, Changlun, Kuala Kedah dan Kulim yang beroperasi dari 6 pagi sehingga 12.30 tengah hari setiap hari.

Manakala, tiga PST yang beroperasi di pusat operasi FAMA di Sungai Petani, Alor Setar dan Langkawi dibuka empat kali seminggu bermula 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

“Kita bercadang membuka tiga lagi PST iaitu di Baling, Pendang dan Padang Terap tetapi masih meneliti beberapa aspek termasuk keperluan pengguna dan juga petugas mencukupi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 3:58 PM