SULTAN Sharafuddin Idris Shah ketika program bersama rakyat, sebelum ini. FOTO Arkib NSTP.
SULTAN Sharafuddin Idris Shah ketika program bersama rakyat, sebelum ini. FOTO Arkib NSTP.
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat di masjid seluruh negeri pada Ramadan ini.

Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda membuat keputusan itu mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan wabak Covid-19 dan bagi mengelak risiko ke atas semua pihak terutama rakyat.

“Sudah menjadi tradisi Baginda pada setiap Ramadan untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama rakyat di daerah-daerah seluruh Selangor dan menyampaikan sumbangan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada asnaf serta fakir miskin.

“Namun, pada tahun ini Sultan Selangor dengan berat hati memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Mohamad Munir berkata, sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan yang memerlukan akan tetap dengan penyampaian dibuat menerusi kaedah lebih selamat dan efisyen.

“LZS akan menyalurkan zakat dan sumbangan hari raya RM500 setiap penerima menerusi pengkreditan terus ke akaun bank mereka.

“Manakala, bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank, LZS akan memberikan baucer tunai untuk dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin turut menasihati umat Islam supaya menyambut Ramadan dengan menumpu kepada ibadat disamping sentiasa berwaspada, mematuhi panduan dan arahan terkini dikeluarkan kerajaan.

Menurutnya, baginda juga mendoakan agar seluruh rakyat dijauhi bala bencana dan dilindungi Allah SWT, selain wabak Covid-19 dapat segera berakhir agar rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa, sihat dan sejahtera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 11:04 AM