REZA menderma 500ml plasma darah. FOTO BERNAMA
REZA menderma 500ml plasma darah. FOTO BERNAMA
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BEKAS pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainudin, 41, menjadi penderma plasma darah pertama di Malaysia untuk rawatan   jangkitan virus terbabit.

Dia yang baru tiga minggu pulih daripada jangkitan Covid-19 menderma 500 mililiter (ml) plasma darahnya di Pusat Darah Negara pada 3 April lalu.

Menurutnya, plasma ialah cecair kuning dalam darah yang mengandungi antibodi dan akan diproses sebelum diberikan kepada pesakit Covid-19 lain bagi melawan virus itu untuk pemulihan.

“Saya dipilih menjadi penderma pertama plasma darah kerana memiliki antibodi untuk melawan virus Covid-19 dan mempunyai tahap kesihatan optimum.

“Jadi saya mahu membantu pesakit lain dan memberi peluang kesembuhan yang sama seperti saya.

“Saya tahu, ada pesakit perlu melalui perjuangan yang sukar untuk pulih dan itu mendorong untuk menderma plasma darah,” katanya.

Berkongsi kisah dijangkiti virus itu, Reza Huzairi berkata, dia disahkan positif Covid-19 pada 3 Mac lalu selepas menjalani ujian swab (calitan tekak dan hidung).

Katanya, walaupun dia mendapat jangkitan virus itu tetapi tiada tanda atau simptom yang berat.

“Cuma sekali sekala saya berpeluh, badan seperti hendak pulih daripada demam pada penghujung Februari lalu dan tidak sangka ia adalah gejala jangkitan ini.

“Ada ketikanya, ketika rawatan di hospital, badan saya lemah namun doktor memaklumkan, ia berlaku kerana antibodi sedang ‘bekerja’ melawan virus ini,” katanya.

Menurut Reza Huzairi, memandangkan dia tidak mengalami gejala teruk, proses penyembuhannya hanya bergantung sepenuhnya kepada antibodi badan tanpa sebarang ubat.

Selain itu, katanya, sepanjang rawatan dia turut mengambil makanan tambahan iaitu vitamin C dan cukup rehat daripada segi fizikal mahupun mental.

“Ia bagi membantu meningkatkan sistem imun badan untuk penyembuhan.

“Kini saya meneruskan gaya hidup dan amalan pemakanan yang sihat seperti sebelum dijangkiti virus ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 5:44 PM