Amir Mamat


JABATAN Kesihatan Melaka bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan semburan nyah kuman ke atas keseluruhan bangunan madrasah di Kampung Ayer Merbau, Jasin, lewat petang semalam.

Beberapa kenderaan milik kedua-dua jabatan itu memasuki pekarangan sekolah pondok terbabit sebaik laporan mengenai peningkatan indeks positif kes Covid-19 sejak kelmarin.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, langkah itu dibuat selepas 20 pelajar serta guru madrasah berkenaan disahkan positif Covid-19.

“Proses nyah kuman dibuat segera bagi mengekang wabak itu daripada terus menular.

“Sebahagian pelajar sudah dibawa ke Hospital Melaka untuk saringan manakala selebihnya akan dibawa selewat-lewatnya 6 petang ini,” katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan kira-kira 125 pelajar madrasah itu supaya dikuarantin secara berpusat susulan peningkatan indeks positif kes Covid-19 di pusat pengajian terbabit.

Semua pelajar yang kini berada di kediaman masing-masing diarah untuk pulang semula ke madrasah berkenaan sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin Covid-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) di Alor Gajah untuk dikuarantin.

Langkah terbabit bagi mengekang transmisi penyebaran pandemik Covid-19 memandangkankira-kira 20 pelajar dan guru sudah disahkan positif yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes indeks kluster tabligh di Masjid Sri Petaling.

Madrasah yang mula beroperasi sejak 2017 itu mempunyai 13 guru serta 164 pelajar dengan 111 daripadanya lelaki manakala selebihnya perempuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, penyebaran wabak itu dikatakan berpunca daripada seorang guru yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Februari lalu.

“Kami melakukan pemantauan secara berkala untuk memastikan mereka mematuhi arahan dikuarantin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 3:57 PM