NORHIZAM menyampaikan sumbangan kit makanan kepada penduduk sekitar DUN Pengkalan Batu, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
NORHIZAM menyampaikan sumbangan kit makanan kepada penduduk sekitar DUN Pengkalan Batu, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

KERAJAAN negeri Melaka mencadangkan supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan pangkalan data bagi mengatasi lambakan bahan mentah makanan termasuk ikan dan sayuran di negara ini.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, langkah terbabit membolehkan golongan nelayan dan petani menjual hasil mereka tanpa terbuang.

Katanya, pangkalan data berkenaan akan memuatkan keperluan bahan mentah di setiap negeri, manakala negeri mempunyai lebihan bahan itu akan menghantarnya ke tempat memerlukan.

“Dalam pangkalan data itu mempunyai laporan keperluan bahan mentah di setiap negeri. Contohnya, jika Melaka kekurangan sayuran, negeri yang mempunyai lebihan sayur akan menghantar bekalan terus ke negeri ini berdasarkan jumlah dicatatkan dalam pangkalan data itu.

“Ia boleh mengatasi lambakan ikan atau sayuran seperti berlaku di Kedah dan Sabah, baru-baru ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kit makanan di beberapa lokasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tanah Adat Melaka (PERTAM) yang juga Ketua Umno Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Norhizam berkata, cadangan itu dikemukakan beliau pada mesyuarat bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, baru-baru ini dan mendapat reaksi positif daripada pihak kementerian.

Beliau berkata, kaedah itu dijangka dapat membantu golongan petani, penternak dan nelayan untuk menambah pendapatan.

Sementara itu, sebanyak 3,000 kit makanan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di DUN berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 kit disumbangkan Kerajaan Persekutuan manakala selebihnya sumbangan peribadi serta Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (JAPERUN) Pengkalan Batu.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 6:00 PM