RIDZUAN, menghantar bekalan makanan yang dipesan kepada saudaranya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
RIDZUAN, menghantar bekalan makanan yang dipesan kepada saudaranya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Nurul Hidayah Bahaudin


PENDUDUK yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di daerah ini dibenarkan menerima barang keperluan dipesan dari luar.

Pemilik kedai runcit berhampiran, Ramli Bakar, 45, berkata pihaknya mula menerima pesanan daripada penduduk terjejas sejak empat hari lalu.

“Saya difahamkan satu keluarga hanya dibenarkan membuat pesanan dua kali seminggu. Pesanan pula diterima melalui mesej di aplikasi WhatsApp dan mereka (penduduk) akan membuat pembayaran pada akaun saya secara dalam talian.

“Sebaik pesanan diterima, barang dikirim akan dibungkus berserta alamat penduduk sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa di bilik gerakan untuk penyerahan.

“Kebanyakan barang dipesan penduduk adalah bekalan makanan serta keperluan asas seperti telur, ayam dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Sungai Lui, di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga, Ismail Mohd, 40, berkata, dia diminta abang saudaranya yang tinggal di Kampung Batu 23, di sini, menghantar bekalan makanan dan keperluan asas, hari ini.

“Abang saudara menghubungi saya meminta tolong menghantar barang, semalam dan ini kali kedua saya menghantar barang ke sini yang diserahkan kepada pihak berkuasa yang menjaga sekatan jalan raya memandangkan orang luar tidak dibenarkan masuk.

“Antara barang dihantar kepada abang saudara hari ini adalah ayam, daging serta keperluan perubatan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ismail berkata, abang saudaranya bersama isteri serta tiga anak memaklumkan mereka dalam keadaan sihat dan tidak berdepan sebarang masalah.

“Mereka memaklumkan segala keperluan dan kebajikan mereka dijaga dengan baik oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa di kawasan ini.

“Malah, mereka sekeluarga juga sudah menjalani ujian saringan walaupun tidak mengalami sebarang simptom dan masih menunggu keputusan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebarang pesanan khas untuk membeli barangan keperluan bagi penduduk di kawasan dikenakan PKPD akan cuba dipenuhi oleh pihak berkuasa.

Beliau menjelaskan keperluan barangan basah dan asas dibekalkan kepada penduduk di tiga kawasan menjalani PKPD, namun mengakui wujud keperluan pembelian produk lain seperti susu bayi, lampin, ubat gigi dan sebagainya.

Sebelum ini, tujuh kampung iaitu Kampung Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai dikenakan PKPD bermula 30 Mac lalu hingga 13 April.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi, mendapati terdapat ambulans dan beberapa kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat keluar dan masuk melalui sekatan jalan raya di Jalan Sungai Lui, di sini, dipercayai membawa penduduk melakukan ujian saringan di Klinik Desa Sungai Lui.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 2:58 PM