Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN Negeri Perak melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) bagi membantu petani yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi skim AgroPrihatin ini, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi membeli hasil pertanian terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual daripada petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak dan PPPNP.

Pembelian akan dilakukan secara tunai untuk membantu kecairan modal segera bagi petani.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, skim ini adalah berasaskan kepada kerjasama rakan strategik dan usaha strategik di antara kerajaan negeri melalui PPPNP dengan KLK Berhad, Agroto Business, Pertubuhan Peladang Kawasan Selama dan Central Kitchen.

“Menerusi kerjasama ini, hasil pertanian yang dibeli oleh PPPNP akan dijual terus kepada rakan strategik iaitu KLK Berhad dan syarikat perladangan sawit di negeri Perak untuk diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan berjumlah dalam 10,000 orang.

“Syarikat korporat seperti Agroto Business berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya,” katanya ketika berucap bagi melancarkan skim berkenaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPPNP berkata, bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), hasil pertanian disalurkan kepada pengendali Central Kitchen seluruh negeri untuk penyediaan makanan masak kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dalam operasi mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan kepada data daripada Jabatan Pertanian dan agensi pertanian negeri, pengeluaran hasil pertanian oleh petani di negeri ini sehingga 14 April 2020 dianggarkan melebihi 13,000 tan metrik.

“Bagaimanapun, dianggarkan antara 20 peratus hingga 30 peratus daripada hasil pertanian ini tidak dapat dijual berikutan kurang permintaan dari pemborong, industri perhotelan dan rangkaian restoran susulan pelaksanaan PKP,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, justeru kerajaan Negeri menyeru kepada petani yang terjejas untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak dan PPPNP untuk memudahkan urusan penyaluran bantuan.

“Semoga inistiatif skim AgroPrihatin akan membantu meringankan beban petani yang terjejas, seterusnya memastikan kelangsungan dan kestabilan bekalan produk pertanian di negeri ini pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman web dan laman Facebook agensi terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 12:07 PM
    AHMAD Faizal (dua kanan) menerima cenderhati yang disampaikan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Selama, Mohd Aini Ahmad (dua kiri) selepas melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin).FOTO  ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
    AHMAD Faizal (dua kanan) menerima cenderhati yang disampaikan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Selama, Mohd Aini Ahmad (dua kiri) selepas melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin).FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar Perak