PENIAGA melayan pelanggan membeli sayur-sayuran di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu.. FOTO  Hazira Ahmad Zaidi
PENIAGA melayan pelanggan membeli sayur-sayuran di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu.. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


BEKALAN barangan keperluan harian di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu cukup untuk menampung permintaan walaupun terdapat kenaikan harga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan mendapati sesetengah peniaga sayur-sayuran terpaksa menaikkan harga berikutan kesukaran mendapatkan bekalan berkenaan.

Antara barang mentah mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM2 setiap kilogram adalah timun, tomato, sawi dan bawang besar, tetapi harga ikan, daging dan ayam masih stabil.

Peniaga Nor Atilah Mat Zin, 24, berkata harga sayur-sayuran mula naik sejak seminggu lalu apabila pemborong tidak dapat menghantar barangan secara kerap susulan PKP untuk membendung penularan wabak Covid -19.

“Saya terpaksa akur kerana kebanyakan sayur diimport dari Thailand dan ada sesetengahnya juga dari Cameron Higlands.

“Disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan, pemborong mengehadkan penghantaran barangan bagi memastikan semua peniaga mendapat bekalan untuk menampung keperluan pengguna,” katanya.

Peniaga lain, Arifin Sulaiman, 73, berkata harga ikan masih stabil terutama ikan selayang yang dijual RM6 setiap kilogram selain ikan kembung RM12, ikan cencaru RM6 dan ikan gelama antara RM10 hingga RM12.

“Saya mengambil bekalan ikan-ikan ini daripada pembekal di Tok Bali dan juga Pahang bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Walaupun negara dilanda dengan kebimbangan penularan wabak Covid-19, namun orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan ikan mencukupi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 11:01 AM