PENGUATKUASA KPDNHEP Sarawak melakukan pemantauan barang di premis perniagaan. FOTO Norsyazwani Nasri
PENGUATKUASA KPDNHEP Sarawak melakukan pemantauan barang di premis perniagaan. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak melaksanakan sebanyak 12,754 pemeriksaan ke atas premis perniagaan sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak Mohd Hanizam Kechek berkata, sebanyak 387 kes dicatatkan dengan nilai rampasan sebanyak RM2.4 juta dan kompaun berjumlah RM71,150.

“Sebanyak 43 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan sebanyak RM2.3 juta dan membabitkan kompaun berjumlah RM16,000.

“Sehubungan dengan itu, pihak kementerian menyeru dan menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini supaya sentiasa menyelenggara buku stok bagi membolehkan pihak kementerian dapat memantau penjualan barangan kawalan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, peniaga juga dinasihatkan tidak menaikkan harga barang kawalan sesuka hati dan tidak menyorok atau enggan menjual barang kawalan kepada pengguna.

“Jika didapati ada peniaga yang ingkar, tindakan tegas akan diambil kerana pemantauan dilakukan berterusan malah ditingkatkan sepanjang PKP berkuat kuasa.

Beliau berkata, rutin pemeriksaan harian menumpukan barangan kawalan keperluan utama seperti gula, minyak masak dan tepung gandum sentiasa berada di pasaran dalam tempoh pelaksanaan PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 4:29 PM