MOHD Khalid Harun. FOTO arkib NSTP
MOHD Khalid Harun. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


KEPUTUSAN kerajaan membenarkan hotel dan penginapan inap desa menjalankan operasinya semula dapat membantu meringankan beban pengusaha dan pekerja industri pelancongan yang terjejas dengan Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya menyambut baik usaha Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dalam mewartakan perkara berkenaan.

“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan yang akan menggunakan hotel sebagai satu tempat kuarantin selama 14 hari terhadap mereka yang baru pulang dari luar negara.

“Keputusan ini akan dapat membantu ahli kami yang kini begitu tertekan dengan ketidaktentuan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berikutan cakna dengan keluhan pemain industri pelancongan selepas kesudian mengadakan pertemuan dengan hampir semua pemimpin industri pelancongan, 31 Mac lalu.

“Hasil pertemuan itu, kami percaya pihak MOF dan MOTAC akan memperkasa Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Apa yang kami harapkan daripada pakej rangsangan ekonomi itu nanti adalah sesuatu yang dapat memberi kelegaan kepada pemain industri pelancongan dan sekaligus menyelamatkan hampir 1 juta pekerja dari kehilangan pekerjaan dari industri ini,” katanya.

Selanjutnya, katanya, MATA akan mengadakan perbincangan dengan Tourism Malaysia untuk membangunkan produk pelancongan domestik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“MATA juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yangmemberikan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pemandu pelancong yang berdaftar dengan MOTAC.

“Dalam mendepani keadaan ekonomi global yang tidak menentu disebabkan pendemik Covid-19 ini, MATA menyeru semua ahli kami untuk lebih menumpukan dan membangunkan produk pelancongan domestik.

“Justeru itu, MATA akan mengadakan perbincangan dengan Tourism Malaysia untuk tujuan itu selepas PKP berakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 11:49 AM