Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan beberapa pesakit Covid-19 yang sudah sembuh sudi membantu dengan menyumbang darah untuk kajian penyelidikan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, terdapat beberapa kes pesakit yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang ingin menyumbang untuk Sains.

Menurutnya, mereka sanggup menderma darah namun sebelum itu KKM akan membuat saringan terlebih dahulu sama ada terdapat jangkitan kuman lain seperti hepatitis C dan sebagainya.

“Jika sihat kita akan uji semula dan ambil darah sebelum diasingkan darah merah dengan plasma.

“Plasma itu akan dikaji, jika antibodi dia (bekas pesakit) tinggi besar kemungkinan plasmanya boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat beberapa pesakit yang sembuh datang untuk menyumbang dan KKM mengucapkan terima kasih kerana mereka rela untuk membantu.

“Sumbangan mereka ini membolehkan penyelidikan dijalankan untuk melihat kepekatan antibodi itu dan sama ada boleh digunakan untuk merawat pesakit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 6:54 PM