Noor Hidayah Tanzizi


PRIHATIN dengan pengorbanan petugas barisan hadapan, Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut menyumbang 212 unit pelindung muka kepada Hospital Seri Manjung (HSM).

Selain itu, mereka turut menyerahkan 22 botol cecair pembasmi kuman, sembilan kotak penutup hidung dan mulut serta lima kotak sarung tangan.

Pengarah IKM Lumut, Muhaiedin Bakim berkata, pelindung muka itu dihasilkan sendiri oleh tujuh pensyarah kursus Sijil Teknologi Upholsteri Industri dan Hiasan Dalaman.

“Sebanyak 212 unit pelindung muka dihasilkan dengan kos anggaran RM1.50 seunit dalam masa satu setengah hari.

“Kami juga akan menghasilkan 300 unit pelindung muka lagi untuk disumbangkan kepada HSM dan bersedia menjahit ‘cover suit’ mengikut keperluan hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyerahan itu disampaikan Muhaiedin kepada Timbalan Pengarah Urusan HSM, M Alice di hospital berkenaan, semalam.

Katanya, sumbangan itu disifatkan tidak seberapa jika dibandingkan dengan jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus merawat dan mengekang penularan wabak Covid-19.

IKM Lumut menyumbang pelindung muka buatan sendiri, cecair pembasmi kuman, penutup mulut dan hidung serta sarung tangan kepada Hospital Seri Manjung. FOTO IHSAN IKM LUMUT
IKM Lumut menyumbang pelindung muka buatan sendiri, cecair pembasmi kuman, penutup mulut dan hidung serta sarung tangan kepada Hospital Seri Manjung. FOTO IHSAN IKM LUMUT

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 4:41 PM