Zanita menunjukkan bekalan bahan untuk membuat kuih yang sudah dibeli. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zanita menunjukkan bekalan bahan untuk membuat kuih yang sudah dibeli. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


PEMBATALAN penganjuran bazar Ramadan di beberapa negeri turut menggusarkan peniaga di Kelantan walaupun kerajaan negeri masih belum memuktamadkan keputusan itu.

Ini berikutan golongan peniaga mendakwa mereka sudah membeli bahan mentah iaitu sebulan atau dua bulan lebih awal menjelang Ramadan.

Pengusaha kuih tradisional, Zanita Mat Ali, 47, berkata dia menyediakan 20 guni beras dikisar untuk menghasilkan kuih buah tanjong, tahi itik dan jala emas yang dijual kepada pembeli sama ada di rumah atau di bazar Ramadan.

Dia yang sudah 20 tahun mengusahakan juadah itu, meluahkan rasa terkilan jika penganjuran bazar Ramadan dibatalkan, tahun ini.

“Sudah lapan tahun saya berniaga kuih di bazar Ramadan Wakaf Bharu yang diuruskan oleh anak, Siti Nur Aisyah Asyari bersama suaminya.

“Semua bahan mentah iaitu 500 kilogram beras yang siap dikisar, minyak masak, gula, tepung gandum dan bekas serta plastik pembungkus sudah dibeli dan kesemuanya mencecah RM5,000.

“Sebelum ini, saya mendengar khabar angin mengatakan tiada bazar Ramadan tahun ini tapi kini risau kerana penganjurannya mungkin dibatalkan tahun ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tumpat, hari ini.

Zanita berkata, kehadiran Ramadan memang ditunggu peniaga termasuk dirinya kerana pendapatan yang diperoleh sangat lumayan.

Menurutnya, pada hari biasa dia meletakkan semua kuih yang dibuatnya di lima kedai, malah ramai juga yang mendapatkannya di rumah.

“Namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kuih-muih saya hanya diletakkan di dua gerai sekitar kampung sahaja kerana pelanggan tidak keluar membeli.

“Sedih juga sebab hanya itu sumber pendapatan kami sekeluarga tapi apabila mengenangkan bukan kami sahaja yang terkesan, saya pasrah dan berharap ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 9:28 PM