PROF Madya Dr Cheah Phaik Kin mengendalikan kuliah melalui aplikasi Zoom kepada pelajar Universiti Texas Christian (TCU), Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat (AS). FOTO IHSAN Dr Cheah
PROF Madya Dr Cheah Phaik Kin mengendalikan kuliah melalui aplikasi Zoom kepada pelajar Universiti Texas Christian (TCU), Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat (AS). FOTO IHSAN Dr Cheah
Balqis Jazimah Zahari


PENSYARAH Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Kampar meneruskan dedikasi apabila menyampaikan kuliah secara atas talian menerusi aplikasi Zoom dengan pelajarnya di Amerika Syarikat.

Prof Madya Dr Cheah Phaik Kin dari Jabatan Perhubungan Awam Fakulti Sastera dan Sains Sosial universiti itu, berkata dia sepatutnya menyampaikan kuliah di sebuah universiti di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa membatalkan pemergian ke negara Uncle Sam berkenaan pada 14 Mac lalu berikutan peningkatan jumlah kes wabak Covid-19 di kedua-dua negara.

“Pelajar dan ahli akademik di universiti terbabit berharap untuk bertemu dan berkongsi ilmu, tetapi situasi itu tidak berlaku berikutan wabak Covid-19.

“Untuk tidak mengecewakan mereka, saya mengambil inisiatif untuk membuat syarahan secara atas talian dengan mereka menggunakan aplikasi Zoom,, hari ini,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, dia menyampaikan kuliah bertajuk 'Media di Malaysia' pada jam 7 pagi (waktu Malaysia) kepada 13 pelajar program Komunikasi Global universiti berkenaan.

Katanya, menerusi kuliah dalam talian itu, dia turut memperkenalkan sejarah negara, Perlembagaan Malaysia, kepelbagaian kebudayaan dan industri media di Malaysia.

“Saya juga mengajar pelajar berkenaan menyanyi lagu rakyat Rasa Sayang sebelum mengakhiri kuliah.

“Sebenarnya, saya mahu beri dorongan dan kegembiraan kepada pelajar terbabit kerana mereka juga terpaksa belajar dalam talian dan duduk di rumah seperti kita di Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 6:42 PM