MOHD Hamizi menunjukkan barangan yang dirampas selepas menahan suspek. FOTO Juwan Riduan
MOHD Hamizi menunjukkan barangan yang dirampas selepas menahan suspek. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


POLIS melumpuhkan jenayah pecah masuk premis didalangi sekumpulan remaja yang aktif di Tuaran baru-baru ini.

Kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun itu bertanggungjawab melakukan jenayah pecah rumah, kedai, gereja dan sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 24 Mac lalu.

Katanya, tangkapan susulan laporan seorang pengadu berhubung barangan seperti telefon bimbit, aksesori dan barang keperluan lain di kedai miliknya dicuri.

“Bertindak atas maklumat itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran membuat serbuan dan tangkapan ke atas suspek.

“Soal siasat dilakukan suspek mengaku terbabit dalam aktiviti pecah rumah, kedai gereja, sekolah di sekitar pekan Tenghilan dan Tamparuli.

“Hasil serbuan itu juga, polis berjaya merampas barangan yang disyaki dicuri dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya dalam sidang media di IPD Tuaran, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati seorang suspek masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

“Polis yakin menyelesaikan 10 kes pecah rumah, kedai, dan sekolah di daerah ini dengan tangkapan suspek itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati keempat-empat suspek bergiat aktif melakukan jenayah itu sejak Januari lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan sewajarnya ke atas sebarang jenayah yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 6:16 PM