ROZALI memantau barangan keperluan asas sebelum diedarkan kepada penduduk yang terkesan sejak PKP dikuatkuasakan. FOTO Rosman Shamsudin
ROZALI memantau barangan keperluan asas sebelum diedarkan kepada penduduk yang terkesan sejak PKP dikuatkuasakan. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, bukan sahaja barisan hadapan negara menghadapi tugas yang mencabar memerangi dan mengekang wabak Covid-19 tetapi ketua kampung juga tidak terlepas dengan cabaran itu.

Ini akui oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kurnia, Rozali Ahmad, 59, yang sebelum ini dikenali ketua kampung di mana setiap hari sibuk menguruskan bantuan keperluan asas kepada golongan terkesan.

Rozali berkata, penduduk kampungnya termasuk mereka yang berkerja sendiri, peniaga kecil dan ibu tunggal dan sudah tentu antara golongan terkesan apabila PKP dilaksanakan.

“Bantuan barangan keperluan asas yang diterima daripada pihak terbabit bukanlah banyak sangat menyebabkan saya perlu pastikan mereka yang benar-benar layak sahaja terima bantuan itu.

“Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dalam mengagihkan bantuan di ketika PKP ini. Kadangkala bukan ucapan terima kasih yang dapat tetapi dimarahi pula kerana bantuan lewat sampai,” katanya ketika ditemui, dekat Muallim.

Penduduk kampung ini mempunyai kira-kira 400 orang dan beliau juga memainkan peranan menjaga kira-kira 30 taman perumahan dalam memastikan penduduk yang terkesan menerima bantuan.

Setakat ini, beliau telah menerima bantuan barangan keperluan asas daripada pihak Pejabat Daerah Muallim, Masjid Sultan Idris Shah Slim River dan Baitulmal untuk disampaikan kepada penduduk.

“Kita memahami keadaan mereka yang terkesan semasa PKP kerana kehilangan punca pendapatan dan pihak saya sedaya upaya menyalurkan apa jua bantuan yang diterima daripada pihak terbabit.

“Sepanjang saya menjadi pengerusi MPKK inilah tugas yang paling mencabar yang saya alami dalam memastikan kebajikan penduduk yang terkesan PKP mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, menjaga kebajikan penduduk yang terkesan di peringkat akar umbi bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan semangat juang yang tinggi, selain ikhlas dalam menjalankan amanah.

Katanya,walaupun berat tugas itu biarlah beliau bersama ahli jawatankuasa yang memikulnya dan yang penting penduduk patuhi PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April depan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 12:05 PM