Zuhainy Zulkiffli

AKTIVITI membeli hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di Kepala Batas membabitkan orang awam dihentikan serta-merta sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan antara pihak polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang dan Ketua Unit Nelayan di kawasan berkenaan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hanya peraih dan penjual sahaja dibenarkan berada di kawasan itu dengan melakukan penjarakan sosial.

Menurutnya, sekatan jalan raya membabitkan anggota polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan dibuat di jalan masuk ke pasar itu bagi memastikan tiada kehadiran orang awam.

“Sepanjang tempoh ini, pembelian secara runcit tidak dibenarkan dan dihadkan seramai 10 orang sahaja boleh melakukan urusan jual beli setiap kali berada di dalam kawasan pasar berkenaan.

“Justeru, orang awam diingatkan memberi kerjasama dengan tidak berurusan secara peribadi terutama bagi mendapatkan hasil laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PIHAK berkuasa ketika melakukan persiapan bagi menghentikan aktiviti membeli hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga. FOTO Ihsan PDRM
PIHAK berkuasa ketika melakukan persiapan bagi menghentikan aktiviti membeli hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga. FOTO Ihsan PDRM

Menurutnya, perubahan urusan jual beli itu adalah inisiatif yang diambil bagi memastikan pelaksanaan PKP dapat dijalankan secara menyeluruh.

Katanya, urusan jual beli akan kembali seperti sediakala sebaik sahaja tempoh PKP berakhir.

“Inisiatif berkenaan diambil bagi menghentikan rantaian wabak Covid-19 khususnya di pasar awam.

“Orang awam dinasihati sentiasa berada di rumah dengan mengelak berada di tempat sesak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 4:47 PM