NAJWAH Halimah Ab Alim (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk. FOTO Ihsan Pembaca
NAJWAH Halimah Ab Alim (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk. FOTO Ihsan Pembaca
Adnan Ibrahim


SERAMAI 600 keluarga di Pulai, Johor yang terjejas sumber pendapatan khususnya keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan bekalan makanan asas daripada Tekun Nasional hari ini.

Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, Najwah Halimah Ab Alim berkata, inisiatif diambil untuk membantu penerima selepas mendapati mereka berhadapan tekanan akibat hilang punca kewangan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Katanya, bagi meringankan beban kelompok miskin bandar ini, sebanyak 600 bungkus barang keperluan harian, seperti beras, minyak, susu dan lain-lain lagi disampaikan kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Untuk tujuan ini, saya juga berharap pihak yang berkemampuan dapat tampil menyalurkan apa sahaja bantuan yang sepatutnya bagi membolehkan lebih ramai keluarga yang terkesan dengan penguatkuasaan PKP meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa.

“Seandainya kita sepakat didalam menyantuni keluarga yang tergolong dalam golongan B40 ini, saya yakin perlaksanaan PKP tidak akan mendatangkan masalah kepada mereka selain mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya melalui kenyataan kepada NSTP hari ini.

Najwah Halimah berharap dengan bantuan yang disumbangkan oleh pihaknya itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga walaupun menyedari tempoh PKP yang dilanjutkan hingga 14 April ini bukanlah satu tempoh yang singkat untuk diharungi.

“Untuk mengelakkan PKP terus dilanjutkan ke satu tempoh yang lebih lama, saya merayu penduduk di Pulai ini supaya sentiasa patuhi semua arahan supaya rantaian penyebaran wabak Covid-19 ini dapat diputuskan,” katanya.

Sementara itu, Sofia Yussof,33, melahirkan rasa syukur dengan bantuan makanan asas yang diterimanya dan akan menggunakannya secara berjimat cermat bagi memastikan keluarga tidak terputus bekalan makanan sehingga tempoh PKP ditamatkan nanti.

“Sebagai kumpulan yang bekerja sendiri, saya mengakui apa yang berlaku ini memberikan tekanan apatah lagi simpanan yang ada semakin berkurangan akibat ketiadaan sebarang pendapatan sejak ianya dilaksanakan tempoh hari.

“Sama-samalah kita berdoa supaya bencana ini dapat diatasi segera seterusnya membolehkan rakyat negara ini dapat menjalankan aktiviti harian untuk mencari nafkah menyara kehidupan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 2:37 PM