KPDNHEP akan memantau harga barang di kedai. FOTO NSTP
KPDNHEP akan memantau harga barang di kedai. FOTO NSTP
Baharom Bakar


PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) semalam, tetapi sudah ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diarahkan mengaktifkan operasi bagi mengambil tindakan ke atas peniaga ‘cekik darah’ terbabit.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid mengakui pihaknya ada menerima aduan mengenai kenaikan harga barangan di beberapa daerah di Kedah, hari ini.

Tegasnya, walaupun aduan itu berlaku di Kedah, tetapi semua pegawai dan penguat kuasa KPDNHEP seluruh negara diarah mengadakan operasi dan mengambil tindakan ke atas peniaga terbabit.

“Kita sudah arahkan pegawai dan penguat kuasa di Kedah menyiasat sama ada kenaikan harga barangan itu ada kaitan dengan pengumuman PRIHATIN oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam,” katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menegaskan, pegawai dan penguat kuasa KPDNHEP mempunyai kaedah tertentu untuk mengesan peniaga yang menaikkan harga barangan termasuk melalui penyamaran.

Jelasnya, KPDNHEP akan memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan pelaksanaan PRIHATIN bulan depan.

“Peniaga yang menaikkan harga barangan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan terbabit diminta menyalurkan maklumat melalui talian 1800886800 atau pejabat KPDNHEP berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:25 PM