WAKIL Media Prima menyampaikan sumbangan kelengkapan perubatan kepada Hospital Kuala Lumpur.
WAKIL Media Prima menyampaikan sumbangan kelengkapan perubatan kepada Hospital Kuala Lumpur.
Suraya Roslan


KUMPULAN Media Prima Berhad (Media Prima) menyerahkan mesin ventilator dan kelengkapan perubatan lain kepada Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Shah Alam.

Ia sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu kepada petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19.

Sumbangan orang ramai menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (MPNHF) yang dilancarkan pada 23 Mac lalu bagi membantu kerajaan dalam menangani wabak itu di negara ini dengan membeli kelengkapan perubatan kepada tiga hospital berkenaan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya menyerahkan mesin ventilator untuk kegunaan Hospital Shah Alam, semalam manakala sebuah lagi dijangka diserahkan pada minggu depan.

“Selain itu, fasa pertama penyaluran dana awam ini membabitkan pembelian dan penghantaran dua mesin ventilator ke Hospital Shah Alam, barangan buatan sendiri (DIY) untuk membuat perisai muka bagi petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur selain bekalan makanan untuk anggota perubatan di hospital sama dan Hospital Sungai Buloh.

“Penggunaan dana awam ini dilihat tepat pada masanya bagi memastikan petugas barisan hadapan mendapat bantuan diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada orang ramai atas kemurahan hati dan belas ihsan dengan menyumbang kepada kempen berkenaan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pembekal, Lulu Hypermarket dan Department Store Kuala Lumpur serta Medik-Link Sales dan Services atas sokongan mereka.

“Krisis Covid-19 menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia dan kita harus bersatu dalam memerangi wabak ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya merayu sokongan dan sumbangan orang ramai kepada dana itu berikutan banyak hospital di seluruh negara memerlukan keperluan segera dan kritikal.

Orang ramai boleh terus menyumbang kepada tabung ini menerusi cek, perbankan dalam talian atau deposit kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (MAYBANK: 5141-0532-3170).

Penderma boleh emel slip transaksi bank dan menulis COVID-19 kepada [email protected] untuk pengeluaran resit bagi mendapatkan pengecualian cukai.

Semua cek boleh dibayar (payable) kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis ‘COVID-19’ di belakang cek berkenaan.

Sila alamatkan cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 5:51 PM