KETUA Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim (kanan) bersama pegawainya melihat pergerakan orang ramai di perkarangan masuk pasar awam di Kodiang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
KETUA Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim (kanan) bersama pegawainya melihat pergerakan orang ramai di perkarangan masuk pasar awam di Kodiang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli

POLIS menahan tujuh individu termasuk empat remaja lelaki kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila keluar tanpa alasan munasabah, semalam.

Dalam pemeriksaan Op Covid 19, empat remaja berusia 14 dan 15 tahun ditahan ketika berkumpul di hadapan sebuah klinik di Jalan Changlun, Jitra, pada 7 malam.

Mereka memberi alasan melepak sewaktu tempoh PKP dilaksanakan ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mereka keluar rumah tanpa membawa dokumen peribadi dengan menunggang dua motosikal.

“Sepatutnya mereka berada di rumah masing-masing ketika PKP dilaksanakan sekarang bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19,” katanya ketika ditemui melakukan rondaan di Pasar Awam Kodiang, hari ini.

Mohd Ismail berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun kerana berkumpul di hadapan sebuah pasar mini di Taman Tunku Maheran, Jitra, pada 10.15 malam.

Menurutnya, seorang lagi lelaki berusia 32 tahun ditahan ketika menunggang motosikal di Jalan Arau-Kodiang kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri pada 4.45 petang.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 25 (1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sehingga kini, jumlah tangkapan sepanjang Op Covid-19 adalah seramai 14 tangkapan termasuk tujuh individu yang ditahan semalam,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa patuh dengan arahan PKP dan berada di dalam rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 3:44 PM