GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


LEMBAGA Air Selangor (LUAS) melaksanakan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama untuk memastikan insiden pencemaran tidak berlaku bagi mengelak gangguan bekalan air kepada pengguna, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia susulan dua insiden pencemaran di Sungai Selangor dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) utama negeri pada hari ini serta 17 Mac yang lalu.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan operasi berkenaan akan bermula esok sehingga 14 April.

“Selaras dengan PKP, kakitangan LUAS yang bertugas akan dipastikan lengkap dengan keperluan keselamatan dan kesihatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kesiapsiagaan dan pemantauan berkala bagi mencegah daripada berlakunya sesuatu insiden yang berpotensi mencemar sumber air di negeri Selangor,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap pencemar sumber air di negeri itu.

Katanya, komitmen dan kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memastikan perlindungan terhadap sumber air di Selangor terutamanya di waktu negara sedang berusaha untuk menangani wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Terdahulu, LUAS memaklumkan pihaknya menemui lapan tong minyak berkapasiti 205 liter dengan dua daripadanya terdedah serta tidak berpenutup di luar stor sebuah kilang bahan binaan di Bestari Jaya.

Siasatan lanjut mendapati terdapat kesan kebocoran daripada tong itu yang mengalir masuk ke longkang seterusnya ke alur berhampiran sehingga menyebabkan tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas pagi tadi.

Pagi hari ini, tiga LRA Sungai Selangor iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihentitugas pada jam 9:40 pagi bagaimanapun tindakan pantas LUAS dan agensi berkaitan membolehkan LRA kembali beroperasi sekitar 12 tengah hari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:05 PM